Saya mula bermain gitar ketika berusia 12 tahun, masa baru sunat masa tu. Entah kenapa kuat pula perasaan nak main gitar itu sampai termimpi-mimpi.

Abah aku memang suka pasang kaset Deep Purple / Rainbow band kepada gitaris kegemarannya Ritchie Blackmore. Abah akan pasang ketika dalam kereta, serta dalam sistem stereo di rumah.

Inilah pendedahan aku kepada muzik rock sejak zaman kanak-kanak lagi.

Mungkin ini yang membawa keinginan untuk main gitar ketika 12 tahun itu.

Juara Lagu 1989

Ketika ini, aku kagum melihat gitaris Wings, iaitu Joe bermain gitar dengan kemas sekali (ketika ini beliau hanyalah berusia 20 tahun), dan yang paling penting – kidal sama seperti aku.

Beli Gitar di Ampang Park

Sekarang, Ampang Park telah dimusnahkan oleh pembangunan. Tapi masih segar di ingatan aku, abah aku belikan gitar berjenama ‘Fair Lady’ berharga RM120.

Tercapai juga impian aku punyai gitar sendiri.

Belajar Gitar dengan Pak Uda

Uda adalah ayah sedara aku (adik abah aku) ; dia yang mula mengajar aku bermain gitar (ketika balik kampung di Pasir Mas, Kelantan).

Masih segar di ingatan ku apa yang diajarnya ;
i) main kord C-Am-F-G
ii) main bes lagu Lambada
iii) main riff lagu Batman

Ini untuk melancarkan pergerakkan jari.

Kidal Semulajadi

Aku juga ingat, kedua-dua ibubapa ku, berada dalam bilik, menyuruh aku main gitar dengan betul, yakni main kanan seperti normal.

Aku ingat lagi aku pegang kord A Major itu – aku memang boleh pegang, tapi aku berasa sungguh kekok.

Bila mereka keluar bilik, aku terus pusing balik main kidal. Itulah dia.